Tuesday 5 August 2008

Islam, Iman, Ehsan & Tanda-Tanda Qiamat

Daripada Saiyidina 'Umar r.a, beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda bermusafir dan tidak seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutu Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua paha. Beliau seraya berkata:" Wahai Muhammad!, Terangkan kepadaku tentang Islam". Lalu Rasulullah SAW bersabda:"Islam itu bahawa engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa. Lelaki tersebut berkata: "Benarlah engkau". Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: "Terangkan kepadaku tentang Iman". Baginda bersabda: "(Iman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk". Lelaki itu berkata: "Benarlah engkau". Dia berkata lagi: "Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan". Baginda bersabda: "Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu". Lelaki itu bertanya lagi: "Terangkan kepadaku tentang Qiamat". Baginda bersabda: "Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebihj mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: "Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: " (antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya)." Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku diam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: " Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?" Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui". Baginda bersabda: "Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu".

Hadis Riwayat al-Imam Muslim

No comments: